Assalamualaikum...kepada semua.Semoga apa apa sahaja paparan di dalam blog ini akan dapat memberikan manfaat dan dijadikan sebagai sumber perkongsian ilmu.Mungkin dengan cara menulis blog ini akan mendorong saya supaya membudayakan amalan membaca.Seterusnya dapat mendidik diri supaya lebih cintakan ilmu.Tambahan pula sebagai pendidik khususnya sebagai ustazah,al maklumlah kadang-kadang terasa kerdil juga diri ini dengan ilmu yang sedikit.Harapan saya,dengan coretan blog ini dapat memberikan kebaikan dan faedah baik pada diri saya dan semua yang mengunjungi blog ini.

Monday, January 11, 2010

KEWAJIPAN MENUNTUT ILMU

Ilmu adalah suatu perkara yang perlu dipelajari dan diamalkan dalam kehidupan manusia.Malahan dalam islam menuntut ilmu adalah wajib hukumnya.Bukan sahaja ditekankan dalam al-quran,hadis tetapi banyak kata-kata perumpamaan atau peribahasa yang membicarakan kepentingan ilmu ini.Tanpa ilmu manusia akan hidup dalam keadaan kejahilan dan dibelenggu kemunduran.Oleh sebab itu,sewajarnya semua manusia khususnya umat islam tidak melepaskan peluang untuk menuntut ilmu baik ilmu akhirat mahupun ilmu keduniaan.Buktinya amat jelas,  penguasaan dalam sesuatu bidang ilmu secara mendalam membawa manusia mencapai arus kemajuan samada dalam aspek pembangunan,infrastruktur,pendidikan,kualiti hidup dan sebagainya.Selain itu ilmu juga telah banyak membantu corak pemikiran manusia hingga mencetuskan tamadun dan peradaban manusia.

Ilmu seperti yang diceritakan dalam al-quran,adalah sangat luas dan tiada akhirnya.Ianya ibarat seekor burung yang minum menggunakan paruhnya adalah cebisan ilmu yang dipelajari,sedangkan lautan yang luas itu diumpamakan ilmu yang masih belum dipelajari.Walaupun demikian,harus diingat setinggi mana taraf ilmu seseorang manusia jika tiada pegangan agama dalam diirinya.Masih tidak dianggap mulia disisi Allah.Ini kerana Allah meletakkan aspek keimanan sebagai tali pengukur bagi menentukan segalanya. Di zaman jahiliyah mereka telah mencipta ketamadunan tetapi jahil dari sudut akidah dan kerohaniaan.Justeru itu,hendaklah semua umat islam menyedari bahawa ilmu itu suatu kemestian  dan hendaklah dihiasi dengan agama supaya natijahnya akan melahirkan umat islam yang mantap dan terbilang.

Realitinya kebanyakan masyarakat kini mengetahui tentang kepentingan ilmu.Namun tahap kesedaran mereka masih menjadi persoalan.Apa yang dikesali kesan dari dasar penjajah telah mempengaruhi corak pemikiran masyarakat khususnya umat islam.Ramai umat islam telah terleka dengan kemajuan hingga kurang memberikan penekanan dalam aspek ilmu kerohanian seperti kewajipan menunaikan solat fardhu, belajar agama dan mengaji al-quran dalam keluarga mereka.Kelihatan para ibu bapa, terus menerus memberikan penekanan dalam ilmu akademik tanpa diseimbangkan dengan ilmu agama telah memberikan impak yang besar kepada masyarakat.Contohnya isu kebejatan moral yang semakin meruncing dikalangan pelajar amatlah menakutkan.Ringkasnya,walaupun dilihat masyarakat kini mempunyai ketinggian ilmu namun masih ditahap rendah dari sudut moral dan sifat kemanusiaannya.

Sudah sampai masanya,masyarakat memikirkan bahawa agama adalah landasan manusia untuk mencapai kesempurnaan dalam hidup.Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin asalkan agama tidak diketepikan.Semoga hidup lebih teratur dan dirahmati Allah.

No comments:

Post a Comment